AKU GURU YANG MEMPUNYAI GURU
Kini aku pun seperti mereka
mengajar dan mendidik
menegur dan menasihati
menghukum dan memuji
berdoa dan mengharap
sebuah kejayaan anak didik
dunia dan akhirat.
Lautan kesyukuran seluas selat
Dipertemukan insan yang hebat
Didikannya yang kejap melekat
Dalam diri ini menjadi kuat
Menyusul jalan mengejar berkat
Sebanyak gugusan bintang yang terbentang
Tidak terhitung untuk dilafazkan ucapan
Rasa berterima kasih dan sayang
Buat guru-guruku yang terhormat
Budi yang tidak akan terbalas
Jasamu menggunung menerjah awan
Tak terkejar walau zaman berganti zaman
Kisah terlakar dari Pulai Chondong
Maahad Tahfiz Al-Qur'an Wal Qiraat
di sinilah permulaan sebuah perjalanan
dulu aku murid sekarang aku guru
Bersama Ustaz Naza
Aku mula mengenal hafazan ayat
Dari Yaasin sampai An-Nisa’
Kaedah tujuh muka surat
Hafazanku tak pernah tersesat
Sesekali tersasar kerana maksiat
Mudir Sor guruku yang peramah
Ramahnya terkadang ada marah
Berhujah bernas tatkala mengarah
Bicaranya lunak terserlah imamah
Ustaz Suhaimi guruku yang tegas
Ilmu fiqah dan tafsirnya yang luas
Hujahnya berdalil, isinya berkias
Mencedok ilmunya aku rasa puas
Al-kalamu huwallafzu al-murakkabu
Al-jurumiah kitab kecil ilmu nahu
Diperkenalkan oleh ustaz yang merdu
Ustaz Shamsuri bacaannya berlagu
Nahunya hebat hafazannya laju
Disambung nahu oleh guru yang baharu
Ustaz Nasir yang tinggi ilmu
Maka mengenallah kalimah itu
Rofo’ nasab dan juga kasrah
Dhommah fathah dan majrur
Fathatan muqaddaratan manqus dan maqsur
Tidak mampu untuk melakar semua kisah
Jasa dan pengorbanan tiada terhingga
Hanya Tuhan yang membalas segala
Ke langit tinggi tangan ku tadahkan
Doa dan harapan ku panjatkan
Ya Allah, ampunilah mereka semua
Berkati dan rahmatilah hidup mereka
Alirkan perjuangan mereka ke dalam jiwaku
Moga aku juga menjadi seperti mereka
Dedikasi buat guru-guruku yang disayangi
Mudir Mansor bin Haji Daud
Ustaz Nazaruddin Jalaluddin
Ustaz Wan Shahmsuri bin Abdul Ghani
Ustaz Suhaimi bin Sulaiman
Ustaz Nik Yusri bin Nik Musa
Ustaz Othman bin Lah
Ustaz Silmi bin Omar
Ustaz Razak
Arwah Ustaz Zain
Ustaz Nasir bin Hasbullah Abu Rifaa
Ustaz Wan Nazari
Ustaz Zailan
Dan semua guru-guruku
yang tidak tercatat di sini
Ajey Abu Ali
Ampang
15 mei 2016
11.30 pm
Comments
Post a Comment