HUBUNGKAIT SYAIKH ABDUL QADIR AL JAILANI DENGAN IBNU TAIMIYAH (RAHIMAHUMALLAH)



Oleh: Nasiruddin Abdul Aziz (N.A.A)

Pendahuluan:

Alhamdulillah, telah sampai khabar kepada saya bahawa ada sesetengah pihak yang menyatakan bahawa Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah merupakan pengikut kepada ajaran Tarekat Qadiri atau Qadiriyah yang dinisbahkan kepada Syaikh Abdul Qadir Al Jailani.

Sesungguhnya ini kekeliruan yang terang lagi bersuluh. Kerana tiada mana-mana kenyataan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah yang menisbahkan bahawa beliau merupakan pengikut ajaran Tarekat Qadiriyah  ataupun mana-mana tarekat yang wujud di dunia ini.

Selain itu,Syaikh Abdul Qadir Al Jailani juga tidak pernah mengasaskan mana-mana tarekat sepanjang hayat beliau. Hanyasanya, beliau merupakan Imam Ahlus Sunnah yang mengikuti Al Quran dan Al Hadith sebagaimana kefahaman Rasulullah shallallahu alaihi wasallam dan para sahabat baginda yakni salafus soleh.

Adapun menisbahkan beliau dengan Tarekat  Qaditiyah adalah kebatilan yang jelas. Sesungguhnya perbuatan ini datang daripada mereka yang tidak bertanggungjawab tentang wali-wali Allah.

كُلٌّ يَدَّعِي وَصَلاً بِلَيْلَى … وَلَيْلَى لَا تُقِرُّ لَهُمْ بِذَاكَا
Semua orang mengaku punya hubungan cinta dengan Laila…
Namun Laila menolak pengakuan mereka itu…

Untuk membuktikan hal itu, kita perlu menjelaskan beberapa perkara berkaitan kedua-dua tokoh ini dan hubungkait antara kedua-duanya.

SYAIKH ABDUL QADIR AL JAILANI

Nama dan Nasab Beliau

Seorang ahli sejarah Islam, Ibnul Imad menyebutkan tentang nama dan masa hidup Abdul Qadir Al-Jailani:

“Pada tahun 561 H hiduplah Al Syaikh Abdul Qadir bin Abi Sholeh bin Janaky Dausat bin Abi Abdillah Abdullah bin Yahya bin Muhammad bin Dawud bin Musa bin Abdullah bin Musa Al-Huzy bin Abdullah Al-Himsh bin Al-Hasan bin Al-Mutsanna bin Al-Hasan bin Ali bin Abi Tholib Al-Jailani.”

(Syazarat Al Zahab, Ibnul Imad Al-Hambali, 4/198)

Tempat Kelahiran

Al Syaikh Abdul Qadir Al Jailani adalah salah seorang ulama ahlu sunnah yang berasal dari negeri Jailan. Dari nama negerinya ini, beliau dinasabkan dan disebut “al-Jailani”, ertinya seorang yang berasal dari negeri Jailan.

Jailan sendiri merupakan nama bagi beberapa daerah yang terletak di belakang Negeri Thobristan.

Kota yang ada di negeri Jailan,  hanyalah perkampungan yang terletak di sekitar pegunungan. (Mu’jam Al-Buldan, 4/13-16)

Mazhab Fiqh Beliau

Beliau termasuk salah satu ulama dan tokoh dalam mazhab hambali. Al Zahabi ketika membawakan biografinya menyatakan:

الجِيْلِيُّ الحَنْبَلِيُّ، شَيْخُ بَغْدَادَ

"Beliau dari Jailani, bermazhab hambali, tokoh di Baghdad".

Kemudian Al Zahabi menyebutkan beberapa guru beliau, antaranya, Abu Ghalib al-Baqillani, Ahmad bin Mudzaffar, Abu Qasim bin Bayan.

Sementara murid beliau, merupakan ulama mazhab hambali, ataranya, Al Sam’ani, al-Hafiz Abdul Ghani (penulis Umdatul Ahkam), dan al-Muwaffaq Ibnu Qudamah, penulis kitab al-Mughni . (Siyar A’lam Al Nubala, 20/439)

Aqidah Beliau

Bahagian ini sagat penting untuk kita fahami, menyusul banyaknya keyakinan tentang beliau yang banyak bercampur khurafat dan takhayul.

 Salah satunya, dikatakan bahawa Syaikh Abdul Qadir mampu mengambil kembali ruh yang sudah dicabut oleh malaikat. Kemudian dikembalikan kepada orang yang baru meninggal.

Ini kisah sangat jelas  kedustaannya. Sesiapapun manusia, bahkan seorang nabi pun, tidak mampu melakukan perkara seperti ini.

Yang sebenarnya fenomena ini tidak hanya terjadi sekarang, tapi sudah ada pada masa silam. Para ulama ahlus sunah berusaha melulruskannya. Kita semak keterangan Al Hafiz Ibnu Kathir:

ولأتباعه وأصحابه فيه مقالات ، ويذكرون عنه أقوالا وأفعالا ومكاشفات أكثرها مغالاة ، وقد كان صالحاً ورِعاً ، وقد صنَّف كتاب ” الغُنية ” و ” فتوح الغيب ” ، وفيهما أشياء حسنة ، وذكر فيهما أحاديث ضعيفة وموضوعة ، وبالجملة كان من سادات المشايخ

“Mereka telah menyebutkan dari beliau (Abdul Qadir Al Jailani) ucapan-ucapan, perbuatan-perbuatan, pengungkapan urusan ghaib, yang kebanyakannya adalah ghuluw (sikap berlebih-lebihan). Beliau orangnya soleh dan wara’. Beliau telah menulis kitab Al-Ghun-yah, dan Futuh Al Ghaib. Dalam kedua-dua kitab ini terdapat beberapa perkara yang baik, dan ia juga menyebutkan di dalamnya hadith-hadith dha’if, dan palsu. Secara umumnya, ia termasuk di antara pemimpin para masyayikh (orang-orang yang berilmu)”. (al-Bidayah wa Al Nihayah, 12/252).

Oleh itu, bahagian penting yang perlu kita perhatikan ketika kita mengkaji sejarah tokoh adalah memahmi bagaimana aqidahnya, bukan kesaktiannya atau karamahnya. Kerana yang kita tiru amal dan aqidahnya, bukan ilmu keanugerahannya. Terlebih lagi, beliau sama sekali tidak pernah mempelajari ilmu keanugerahan, apalagi memlikinya.

Memang beliau memiliki banyak karamah. Namun karamah yang beliau miliki bukan kerana beliau mempelajarinya, tapi pemberian dari Allah, sebagai bentuk pertolongan dari Allah untuk hamba-Nya yang soleh. Sehingga sekali lagi, yang perlu kita tiru adalah kesolehannya bukan karamahnya.

Antara cara untuk memahami aqidah beliau adalah dengan melihat karya penulisan beliau.

 Syaikh Abdul Qadir al-Jailani memiliki kitab  Al Ghun-yah. Dalam salah satu biografi beliau yang disebutkan oleh Ibnu Rajab, di kitab Zail Thabaqat Hanabilah dinyatakan:

وللشيخ عبد القادر رحمه الله تعالى كلام حسن في التوحيد، والصفات والقدر، وفي علوم المعرفة موافق للسنة. وله كتاب ” الغنية لطالبي طريق الحق ” وهو معروف، وله كتاب ” فتوح الغيب ” وجمع أصحابه من مجالسه في الوعظ كثيرًا. وكان متمسكًا في مسائل الصفات، والقدر، ونحوهما بالسنة، بالغًا في الرد على من خالفها

“Syaikh Abdul Qadir Al Jailany memiliki keterangan yang bagus tentang Tauhid, penjelasan sifat  Allah, dan taqdir. Dalam ilmu ma’rifat, ilmu beliau sesuai kaedah ahlus sunah wal jamaah. Beliau memiliki buku berjudul: “al-Ghun-yah li Thalibi Thariqil Haqq.” Kitab yang terkenal. Beliau juga mempunyai kitab yang berjudul: Futuh Al Ghaib. Sahabat beliau yang mengikuti pengajian tentang nasihat sangat banyak. Beliau berpegang dengan sunnah (ajaran Nabi) dalam masalah sifat Allah dan taqdir atau aqidah lainnya. Beliau sangat hebat dalam membantah orang menyelisihinya. (al-Ghuntah, hlm. 151)

Ibnu Qudamah menuturkan pengalaman dengan gurunya:

دخلنا بغداد سنة إحدى وستين وخمسمائة فإذا الشيخ عبد القادر ممن انتهت إليه الرئاسة بها علمًا وعملاً ومالاً واستفتاء. وكان يكفي طالب العلم عن قصد غيره من كثرة ما اجتمع فيه من العلوم، والصبر على المشتغلين، وسعة الصدر

“Kami masuk Baghdad tahun 561 H. Ternyata Syaikh Abdul Qadir termasuk orang yang mencapai puncak kepemimpinan dalam ilmu , harta, fatwa dan amal disana. Penuntut ilmu tidak perlu lagi menuju kepada yang lainnya kerana banyaknya ilmu, kesabaran terhadap penuntut ilmu, dan kelapangan dada pada diri beliau. Orangnya berpandangan jauh. Beliau telah mengumpulkan sifat-sifat yang bagus, dan keadaan yang agung. Saya tak melihat ada orang yang seperti beliau setelahnya.” (Zail Thobaqot Hanabilah, 1/293)

Pernyataan Syaikh Abdul Qadir tentang Aqidah

1. Allah ber-istiwa di atas 'Arasy.

Beliau berkata:

وهو بجهة العلو مستو ، على العرش محتو على الملك محيط علمه بالأشياء

"Dia beristiwa di atas. Dia di atas Arsy, Dia menguasai semua kerajaan, ilmu-Nya meliputi segala sesuatu. (al-Ghun-yah, 1/71)

2. Beliau membantah semua aliran selain ahlus sunnah:

وينبغي إطلاق صفة الاستواء من غير تأويل ، وأنه استواء الذات على العرش لا على معنى القعود والمماسة كما قالت المجسمة والكرامية ، ولا على معنى العلو والرفعة كما قالت الأشعرية ، ولا معنى الاستيلاء والغلبة كما قالت المعتزلة ، لأن الشرع لم يرد بذلك ولا نقل عن أحد من الصحابة والتابعين من السلف الصالح من أصحاب الحديث ذلك

"Selayaknya memahami istiwa Allah sesuai makna tekstualnnya, tanpa ditakwil. Dia bersemayam secara zat di atas ‘Arasy, tidak kita maknai duduk dan menempel di Arsy, sebagaimana perkataan Mujassimah dan Karramiyah, tidak pula dimaknai berada di atas, sebagaimana perkataan Asy’ariyah. Tidak boleh dimaknai menguasai, sebagaimana aqidah Mu’tazilah. Kera syariat tidak menyebutkan semua makna itu, dan tidak dinukil satupun keterangan  dari sahabat, maupun tabi’in di kalangan Salaf, para pembawa hadis. (al-Ghun-yah, 1/74)

Pernyataan ini membuktikan, bahawa beliau adalah pengikut salaf, pembawa hadith, ahlus sunah, bukan Asy’ariyah, apalagi Mu’tazilah.

Mengapa lebih banyak disentuh soal aqidah masalah Allah beristiwa di atas?

Kerana ini titik sengketa antara ahlus sunnah dengan ahlul bid’ah dalam masalah aqidah, seperti Asy’ariyah dan Mu’tazilah.

Mengingat pentingnya meluruskan sejarah beliau, hingga Dr. Said bin Musfir menulis thesis PhD dengan judul: [الشيخ عبدالقادر الجيلاني وآراؤه الاعتقادية والصوفية] “Syaikh Abdul Qadir Jailani: Pemikiran Aqidah dan Sufiyah”

Dalam thesis ini beliau benyak membantah orang-orang sufi yang menyalah gunakan nama beliau untuk mendukung aqidah sufinya.

Buku ini telah diterjemahkan dalam edisi Indonesia dengan judul: Buku Putih Syaikh Abdul Qadir Al Jailani.

Termasuk yang perlu dibersihkan adalah tersebarnya gambar beliau, yang ini boleh kita pastikan dusta. Kerana beliau memusuhi gambar bernyawa dengan wajah.

Demikianlah ringkasan mengenai Syaikh Abdul Qadir. Jelas bagi kita bahawa beliau berpegang dengan aqidah dan mazhab ahlus sunnah.

Sekarang mari kita lihat pula ulasan mengenai Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah.

SYAIKHUL ISLAM IBNU TAIMIYAH RAHIMAHULLAH

Nama dan Nasab Beliau

Beliau ialah Syaikhul Islam, Al Hafiz, Al Mujaddid, Taqiyuddin Abul Abbas Ahmad bin Abdul Halim bin Abdul Ssalam bin Abdullah bin Abil Qasim bin Khudr bin Muhammad bin Taimiyah Al Haraniy Al Hambaliy. Lahir di daerah Haran tanggal 10 Rabi’ Awwal 661H.

Perjalanan Menuntut Ilmu dan Mengajar

Beliau belajar fiqh dan usulnya daripada bapa beliau. Beliau belajar daripada ramai ulama’ antaranya: Syaikh Syamsudin, Syaikh Zainudin bin Al Munajja, dan Al Majd bin Asakir.

Di samoing itu, beliau belajar bahasa Arab kepada Ibnu Abdil Qawwiy. Selain itu, beliau juga belajar kitab Sibawaih dan memahaminya.

Beliau juga menguasai ilmu hadith dan mendengar kutubus sittah serta Al Musnad beberapa kali.

Beliau juga belajar tafsir dan sangat ahli di dalamnya.

Beliau juga menguasai ushul fiqih, fara’idh, matematik, dan lainnya.

Beliau juga merupakan ahli dalam membantah ilmu kalam dan falsafah.

Bapa beliau merupakan seorang ulama’ besar mazhab Hambali. Setelah orang tua beliau meninggal maka Syaikhul Islam mengganti peranannya. Saat itu umur beliau masih sekitar 19 tahun. Beliau pun mula terkenal. Al Hafiz Abu Hafsh Umar bin Ali Al Bazar, yang hidup sezaman dengan syaikhul Islam, berkata tentang beliau:

“Jika dibacakan dimajlisnya ayat-ayat al Qur’an maka beliau dapat dengan cepat menafsirkannya… Sungguh Allah telah memberinya kurnia mengetahui khilaf-khilaf antara ulama’, dalil-dalil mereka, sebahagian besar perkataan dan ijtihad-ijtihad (pendapat) mereka dalam permasalahan-permasalahan. Beliau juga mengetahui dari apa yang diriwayatkan dari mereka baik yang rajih (kuat) mahupun yang marjuh (lemah), yang maqbul (diterima) atau mardud (ditolak)… Jika beliau ditanya sesuatu dari hal tersebut, maka seolah seluruh yang diriwayatkan dari Rasul dan para sahabat ada padanya, dari yang paling awal dan paling akhir… hal ini telah disetujui (dibenarkan) oleh setiap orang yang pernah melihatnya atau belajar dari ilmu beliau, dari orang-orang yang akalnya tidak dikalahkan oleh kebodohan atau hawa nafsu.” [Al A’lam Al Aliyah fi Manaqibi Sayikhi Al Islam Ibni Taimiyah karya Imam Bazzar, tahqiq Dr Shalahudin Munajjid, hal 23-25]

Karangan beliau

1. Majmu’ al fatawa, 35 Jilid
2.Muwafaqati shahihi al manqul li shorihi al ma’qul 10 jilid.
3. Al Jawabu ash shahih liman baddala diina Al Masih.
4. Minhajus sunnah an nabawiyah fi ar rad ‘ala asy syi’ah wa al qodariyah
5. Al fatawa al mishriyah
6. Al ikhtiyarat al fiqhiyah
7. Al qawa’idu an nuraniyah al fiqhiyah
8. Naqdh manhaji at ta’siis
9. Iqomatu ad dalil ala ibthaali at tahliil
10. Syarh al ‘aqidah al ashfahaniyah
11. Al Shafadiyah
12. Al Isthiqomah
13.  Kitabu al iman
14. Kitabu naqdh al manthiq
15. Kitabu an nubuwat
16.  Iqtidha’ shiratha al mustaqim mukhalafati ashhabi al jahim

Ini diantara karangan beliau. Masih banyak tulisan, risalah, fatwa-fatwa beliau yang hilang atau belum dicetak.

Pujian Ulama’ pada Beliau

Terlalu pujian ulama terhadap beliau.

Antaranya murid beliau, Ibnu Kathir rahimahullah berkata:

“Tidaklah beliau mendengar sesuatu pasti menghafalnya. Kemudian beliau menyibukkan diri dengan ilmu. Beliau adalah orang yang cerdas (dan) banyak hafalan. Beliau menjadi imam dalam tafsir dan hal yang berkait dengannya. Beliau alim (yang sangat mengetahui) dalam fiqh. Beliau lebih mengetahui fiqh mazhab-mazhab dari pada ahli mazhab tersebut baik yang hidup sezaman dengan beliau atau yang selainnya. Beliau juga alim tentang perbezaan pendapat di kalangan ulama’. Alim dalam masalah usul dan furu’ (cabang), nahu, lughah, dan ilmu-ilmu yang lainnya…. ” [Bidayah wa nihayah 14/118-119]

Al Hafiz Al Mizziy: “Saya belum pernah melihat yang serupa dengan beliau. Dan beliau sendiri belum pernah melihat yang seperti dirinya. Saya tidak melihat orang yang lebih mengetahui kitabullah dan sunnah rasul-Nya dan lebih ittiba’ (mengikuti) keduanya melebihi beliau.”

Al Hafiz Ibnu Daqiqi Ied berkata: “Ketika aku bertemu dengan Ibnu Taimiyah maka aku dapati dia seorang yang (seolah) seluruh ilmu berada dihadapannya. Dia mengambil yang dia mahu dan meninggalkan yang ia mahu.”

Ibnu Haririy berkata: “Jika Ibnu Taimiyah bukan seorang syaikhul Islam maka siapa (yang berhak disebut syaikhul Islam)??”

Murid-Murid Beliau

Ramai murid beliau yang menjadi ulama besar setelahnya. Mereka menyebarkan dan meneruskan ilmu dan dakwah beliau.  Aantara muridnya yang terkenal: Imam Ibnu Qayyim, Imam Ibnu Kathir, Al Hafiz Al Zahabiy, Al Hafiz Ibnu Abdilhadi dan selainnya –semoga Allah merahmati mereka semua-.

Wafat

Beliau meninggal malam Isnin, tanggal 20 Zulkaedah 728 H. Semoga Allah merahmati beliau.

Antara Aqidah Beliau

Ibnu Taimiyah berkata:

وأما الذي أقوله الآن واكتبه وإن كنت لم اكتبه – فيما تقدم من أجوبتي وإنما أقوله في كثير من المجالس – إن جميع ما في القرآن من آيات الصفات فليس عن الصحابة اختلاف في تأويلها

وقد طالعت التفاسير المنقولة عن الصحابة وما رووه من الحديث ووقفت من ذلك على ما شاء الله تعالى من الكتب الكبار والصغار اكثر من مائة تفسير فلم أجد – إلى ساعتي هذه – عن أحد من الصحابة انه تأول شيء من آيات الصفات أو أحاديث الصفات بخلاف مقتضاها المفهوم المعروف بل عنهم من تقرير ذلك وتثبيته وبيان أن ذلك من صفات الله ما يخالف كلام المتأولين ما لا يحصيه إلا الله

"Adapun yang aku katakan sekarang dan aku tulis sekalipun aku belum pernah menulisnya dalam jawapan-jawapanku  adalah bahawa semua yang ada di qur’an berupa ayat-ayat sifat tidak pernah didapat perselisihan dari sahabat sekitar takwilnya.  Sungguh aku telah menelaah berbagai tafsir yang dinukil dan diriwayatkan dari para sahabat dan hadith-hadith. Aku juga telah membaca-Masya Allah- banyak dari kitab-kitab para pembesar dan Sighar lebih dari seratus tafsir, namun sampai saat ini aku belum mendapati satupun dari sahabat yang mentakwilkan ayat-ayat atau hadith-hadith sifat dengan tafsiran yang menyelisihi tuntutan-tuntutan makna yang difahami dan masyhur. Bahkan yang aku dapat adalah persetujuan, penetapan, dan penjelasan mereka bahawasanya hal tersebut termasuk sifat-sifat Allah yang menyelisihi perkataan tukang-tukang takwil yang tidak terhitung jumlahnya. (Majmu’ Fatawa 6/394)

Dalam penjelasan beliau jelaslah bagi kita bahawa para sahabat menafsir terhadap ayat-ayat sifat, bukan mentakwil.

HUBUNGKAIT SYAIKH ABDUL QADIR AL JAILANI DENGAN SYAIHUL ISLAM IBNU TAIMIYAH

Kajian ini sangat panjang dan mendalam sehingga perlukan penulisan khas yang lain.

Namun saya cuba di sini untuk menerangkan secara ringkas mengenai adakah benar Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah mengikuti Tarekat Al Qadiriyah yang dinisbahkan kepada Syaikh Abdul Qadir Al Jailani.

Pembahagian Sufi Menurut Ibnu Taimiyah

Menurut Ibnu Taimiyah, para Shufi tu dapat dibahsgi menjadi 3 golongan:

1. Shufi yang hakiki (shufiyyah al-haqa’iq)

2. Shufi yang hanya mengharapkan rezki (shufiyyah al-arzaq)

3. Shufi yang hanya mementingkan penampilan (shufiyyah al-rasm)

Shufi yang hakiki menurutnya adalah mereka yang menumpuksn ibadah menjalani kezuhudan di dunia. Mereka adalah orang-orang yang memandang bahawa seorang Shufi adalah “orang yang bersih (hatinya) dari kotoran, dipenuhi dengan tafakur, dan yang menjadi sama baginya nilai emas dan batu.” (Majmu' Fatawa 11/19)

Menurut Ibnu Taimiyah, seorang Shufi yang hakiki haruslah memenuhi 3 syarat berikut:

1.     Ia harus mampu melakukan “keseimbangan syar’i”. Iaitu dengan menunaikan yang fardhu dan meninggalkan yang diharamkan. Dengan kata lain, seorang Shufi yang hakiki harus komitmen dengan jalan taqwa.

2.     Ia harus menjalani adab-adab penempuh jalan ini. iaitu mengamalkan adab-adab syar’i dan meninggalkan adab-adab yang bid’ah. Atau dengan kata lain, mengikuti adab-adab al-Qur’an dan sunnah Nabi saw.

3.     Bersikap zuhud terhadap dunia dengan meninggalkan hal-hal yang tidak ia butuhkan dan menyebabkannya hidup berlebihan.

Adapun shufiyyah al-arzaq (yang hanya mengharapkan rezki) adalah mereka yang bergantung pada harta-harta wakaf yang diberikan kepada mereka.

Sedangkan shufiyyah al-rasm adalah sekumpulan orang yang merasa cukup dengan menisbatkan diri kepada Shufi. Bagi mereka yang penting adalah penampilan dan perilaku zahiriah sahaja, tidak hakikatnya. Menurut Ibnu Taimiyah, mereka ini sama dengan orang yang merasa cukup berpenampilan seperti ulama –hingga menyebabkan orang bodoh menyangka mereka benar-benar ulama, padahal sebenarnya bukan. (Majmu’ al-Fatawa 11/19-20)

Dengan pembahagian ini, kita dapat mengatakan bahawa Ibnu Taimiyah telah mencermati perkembangan Tasawuf dari waktu ke waktu.

 Dalam hal ini, ia seperti menegaskan adanya seperti pergeseran dalam memahami Tasawuf yang sesungguhnya. Itulah sebabnya,  bagi Ibnu Taimiyah, wali Allah yang hakiki itu tidak memiliki model penampilan khusus yang berbeza dengan kaum muslimin lainnya. Mengapa? Kerana menurutnya para wali itu sebenarnya tersebar dan ada dalam setiap kelompok dan lapisan masyarakat yang berpegang teguh pada Syariat Allah yang benar dan meninggalkan bid’ah. Mereka ada di tengah para ulama, qurra’, perajurit yang berjihad, atau bahagian lainnya. Para wali itu bergerak menunaikan kewajipan duniawi mereka dengan tidak melepaskan penghambaan mereka kepada Allah Ta’ala. (Al-Furqan baina Auliya’ al-Rahman wa Auliya’ al-Syaithan, hal. 58.)

Di sisi yang lain, Ibnu Taimiyah juga mengkritik para Shufi yang hanya memberikan perhatian terhadap ranah ruhani sahaja, tanpa memperhatikan ranah zahiri  dan sosial. Baginya, ketimpangan yang terjadi pada salah satu dari sisi rohani dan zahiri akan mengakibatkan munculnya sebuah bid’ah baru. Sebab Islam sesungguhnya menyerukan kesolehan masyarakat manusia yang utuh, zhahir dan batin. Seorang Shufi yang sempurna menurutnya harus mampu menyelaraskan amalan hati dengan amalan duniawi. Ia menyebutnya dengan: “Dunia berkhidmat untuk dien (agama).” (Al-Siyasah al-Syar’iyyah, hal. 179)

Perkataan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah Terhadap Syaikh Abdul Qadir Al Jailani

Beliau berkata:

Para Imam kaum Shufi dan para syaikh mereka yang terkenal seperti al Junaid bin Muhammad dan para pengikutnya, Syaikh Abd al Qadir dan semisalnya. Mereka adalah termasuk orang-orang yang paling teguh dalam melaksanakan perintah dan menjauhi larangan . selanjutnya beliau berkata :Seluruh perkataan Syaikh Abdul Qadir Jailani berkaitan dengan ittiba kepada perintah dan meninggalkan larangan serta sabar atas apa yang telah ditakdirkan. (Majmu' Fatawa 8/369)

KESIMPULAN

Para pembaca mungkin sedikit bingung atau agak terkesan dengan sikap ibnu Taimiyah terhadap Shufisme, kerana mungkin tidak sesuai dengan apa yang digambarkan sebelumnya.

 Jika Ibnu Taimiyah terkesan membela dan memuji beberapa hal terkait dengan Shufisme, maka pastikan bahawa itu adalah Shufi jenis pertama yang disebut ibnu taimiyah dengan istilah shufiyyah al-Haqa’iq.

Namun jika di lain tempat Ibnu Taimiyah berbicara keras terhadap Shufiatau tokohnya seperti Ibnu Arabi dan Al Hallaj maka Itu kerana mereka termasuk kaum zindiq yang belakangan dinisbahkan sebagai Shufi atau mereka termasuk shufiyyah al-Arzaq dan atau shufiyyah al-Rasm yang ingin berbagi pujian sebagai orang soleh namun sebenarnya hanya mencari keuntungan dunia.

Adapun hubungan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah dan Syaikh Abdul Qadir Al Jailani,  jelasnya dapat disimpulkan kepada dua point:

1. Beraqidah dengan aqidah Ahlus Sunnah. Hal ini jelas pada kenyataan kedua- dua imam tersebut apabila mengambil jalan salaf dan menetapkan sifat fi'liyah Allah.

2. Kecenderungan kepada manhaj istidal yang sama dalam mengemukakan dalil-dalil syari'e. Hal ini terbukti dengan kenyataan mereka betapa pentingnya mengikuti kefahaman salaf dalam menetapkan hukum-hakam.

Adapun sebahagian penulis dari kalangan shufi yang mengatakan bahawa ibnu Taimiyah adalah seorang shufi lalu mengaitkannya dengan mana-mana tarekat, maka dapat dipastikan bahawa mereka memotong-memotong fatwa Ibnu Taimiyah dan atau menggunakan fatwa tersebut tidak pada tempatnya untuk menggambarkan seolah ada perbezaan antara pengikutnya dengan ibnu taimiyah sendiri.

Bagi orang yang mencintai beliau, maka tidak ada cara lain kecuali merujuk kitab-kitab beliau dan bertanya kepada ahli ilmu.

Perkataan paling tepat tentang Shufi adalah sebagaimana yang dikatakan ibnu Taimiyah:

“Banyaknya hal-hal yang terjadi mengenai ijtihad dan perselisihan tentang mereka membuat Orang-orang berselisih pendapat mengenai tasawuf. Sebahagian mencela tasawuf seraya berkata bahawa mereka adalah ahli bid’ah yang telah keluar dari Sunnah. Dari para imam yang mewakili kelompok ini kita dapatkan banyak fatwa yang kemudian banyak diikuti oleh kelompok lain terutama dari kalangan ahli fiqh dan ilmu kalam. Sementara kelompok yang lain memujinya secara berlebihan seraya mengatakan bahawa ahli tasawuf adalah makhluk yang paling mulia dan sempurna setelah Nabi. Apa yang dikemukakan oleh kedua kelompok ini sama-sama tercela. Yang benar, mereka adalah Mujtahid dalam ketaatan kepada Allah Subhanahu Wataala sebagaimana orang-orang yang taat kepada Allah, diantara mereka ada yang mendahului (dalam kebaikan) dan dekat sesuai dengan ijtihadnya, sebahagian lagi berada dipertengahan yang merupakan golongan kanan, kedua golongan tersebut kadang-kadang berijtihad kemudian salah. Antara mereka juga ada yang berdosa lalu bertaubat atau tidak bertaubat. Orang yang mengaku bahagian dari tashawuf juga ada yang menzalimi diri mereka sendiri serta berbuat maksiat kepada Rabbnya" (Majmu' Fatawa 11/18

Wallahu a’lam
Semoga bermanfaat

Nasiruddin Abdul Aziz
N.A.A
Kuliah Syariah
Universiti Islam Madinah

Comments